Saturday 7 August 2021

CARA HASILKAN NIRA KELAPA

Air nira memang popular sebagai minuman yang lazat dan beraroma. Air nira dihasilkan melalui proses ‘nyadat’ mayang kelapa yang masih dalam seludang (kelopak pembalut mayang kelapa yang masih muda).

Bahagian hujung seludang dipotong sehingga mengena mayang di dalamnya. Seludang yang dipotong perlu diikat rapi untuk mengelak ia berburai. Mayang yang dipotong itu akan dibiarkan beberapa hari sebelum mengeluarkan atau menitiskan air nira.

Untuk menumpul atau menadah nira, tukil diperbuat daripada buluh digunakan. Namun, sekarang ini tukil banyak dibuat menggunakan botol minuman bersaiz besar yang ‘mulut’ muat untuk dimasukkan seludang kelapa yang diikat itu.

Air nira menitis perlahan. Jumlah titisan terkumpul untuk setiap hari kira-kira 1 liter. Proses memunggut perlu dilakukan dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang yang mana jumlah setiap tuaian untuk setiap pokok kelapa adalah kira-kira 500ml.

Setiap kali memunggut nira, tok nyadat (orang yang kerja memunggut nira) perlu menyadat (memotong) sedikit bahagian hujung mayang kelapa agar proses pengeluaran nira berteusan.

Proses menyadat dilakukan sehingga keseluruhan mayang dipotong yang mengambil masa kira-kira dua minggu dan nira tidak menitis lagi.  

Laghu atau potongan kayu pokok cengal perlu dimasukkan ke dalam tukir. Laghu berfungsi sebagai pengawet semulajadi.

Dengan adanya laghu, air nira boleh bertahan sehingga separuh hari tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Air nira yang dibiarkan lebih semalaman akan bertukar rasa masam. Ia masih boleh diminum dan ada penggemar suka minum air nira dibiarkan semalaman.

Namun, selepas dua atau tiga hari dibiarkan tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk, air nira boleh memabukkan dan dari segi hukum agama Islam ia haram diminum.

Air nira kelapa yang telah masam tidak dibuang, sebaliknya dikumpulkan untuk diproses menjadi manisan atau gula melaka.

Jika dibiarkan dalam tempoh masa lebih lama, air nira kelapa akan bertukar menjadi cuka kelapa dan kembali halal untuk digunakan.




No comments:

Post a Comment