Sunday 15 August 2021

BAHASA MELAYU PERTUGUH SOPAN SANTUN


Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu pernah berdiri megah menjadi bahasa pengantar di rantau Asia pada kurun ke-15. Ia berlaku selepas Empayar Kerajaan Melayu Melaka menjadi pusat perdagangan, pertemuan dan penyebaran ilmu yang masyhur ke seluruh dunia.

Sifat semula jadi bahasa Melayu itu sendiri yang mudah dipelajari dan difahami, membuatkannya menjadi bahasa terpenting seperti bahasa Inggeris pada ketika ini.

Budaya Melayu pada dasarnya kaya dengan penggunaan bahasa yang diperlambangkan dengan peribahasa, bidalan, simpulan bahasa, pantun, seloka, gurindam, teromba, syair dan sebagainya.

Ungkapan ini digarap halus dengan butir kata yang menawan, dan selalunya dikaitkan dengan kejadian alam sekeliling seperti keindahan flora dan fauna yang ada di sekeliling masyarakat Melayu itu sendiri.

Makna di sebalik bahasa itu sebenarnya berkait rapat dengan sikap, adab dan budaya masyarakat.

Kepentingan bahasa dalam masyarakat Melayu menunjukkan bahawa bahasa selalunya mempunyai makna kedua atau tersirat, iaitu budi bahasa dan sopan santun.

Masyarakat Melayu juga sangat mementingkan adab ketika berbahasa. Adab merujuk kepada garis panduan tatacara berbahasa dalam sesuatu perbualan, sesuai dengan norma kehidupan masyarakat itu sendiri.

Sopan santun diungkapkan melalui bidalan, peribahasa, pantun, papatah dan perumpamaan agar maksud yang ingin disampaikan supaya dapat difahami tanpa mengguris, menyakiti hati atau menjatuhkan air muka penutur dan pendengarnya.

Penggunaan bahasa dalam masyarakat Melayu dengan itu terus dijaga rapi kerana ini melambangkan budi pekerti serta personaliti penutur.

Kayanya bahasa kita. Penuh berbudi bahasa dan sopan santun.

No comments:

Post a Comment