Thursday 26 September 2024

TIADA KEHIDUPAN BENAR-BENAR SEMPURNA

 
Banyak orang menjadi korban kesempurnaan diri. Segalanya mahu sempurna, daripada rupa paras sampailah kepada berfikir cerdas. Kita bimbang "apa kata orang". Keadaan itu menimbulkan tekanan mental dan fizikal. Hidup menjadi huru-hara kerana ingin mencapai kesempurnaan.
 
Hakikatnya, tiada siapa yang sempurna. Tentu ada sahaja kekurangan dan kelemahan. Biarpun pada pandangan orang lain nampak sempurna, ia bukan seperti apa dilihat.
 
Pasangan selebriti terkenal dilihat cukup sempurna dan bahagia, akhirnya bercerai. Si isteri cantik anggun, manakala si suami kacak bergaya. Suami dan isteri ada banyak peminat yang kagum dengan penampilan mereka daripada pelbagai sudut. Mudah kata, mereka dianggap pasangan bahagia dan terbaik.
 
Itu pandangan orang lain. Situasi sebenar hanya pasangan itu sahaja tahu apa yang sebenar berlaku. Masalahnya dalam rumah tangga mungkin sudah lama, tetapi disembunyikan agar dilihat sempurna di mana peminat.
 
Itu sekadar contoh yang tidak ditujukan kepada sesiapa. Tambahan, perkara ini memang kerap berlaku. Dilihat sempurna dan bahagia, sedangkan itu bukan perkara benar.
 
Jadi, tidak perlu kita ingin dilihat sempurna hanya kerana melihat “kesempurnaan” orang lain. Terimalah seadanya apa yang kita lalui. Berusahalah perbaiki jika ada berlaku keburukan. Tambah mana yang kurang. Buang mana yang tidak elok. Kelemahan dibaiki dengan kekuatan.
 
Jika segala yang diusahakan tidak membuahkan hasil seperti diharapkan, jangan mudah menyalahkan orang lain dan berputus asa. Terus positif dan bersemangat melakukan kebaikan.
 
Satu daripada keistimewaan hidup ini adalah apabila kita dapat menjadi diri sendiri. Terimalah seadanya apa yang dicapai. Apa yang diperoleh tidak kira banyak atau sedikit perlu disyukuri. Bersyukur menjadikan diri menjadi lebih tenang dan bersemangat untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.
 
Angkat impian itu, tetapi bersedia untuk tidak mencapainya. Lengkapkan diri dengan bersedia untuk berdamai dengan takdir. Fahami proses kehidupan yang tidak semua yang diingini akan diperoleh. Tiada istilah siapa yang terbaik dan di sisi lain pula ada orang gagal. Nasib kita berbeza biarpun berada di tempat dan masa yang sama.
 
Apa yang mendatang, terimalah. Manfaatkan peluang yang ada. Kita kena tegas dalam menilai apa yang patut dilakukan. Kata orang, jika kasut muat, pakailah. Sebaliknya jika tidak muat, atau terlalu besar, jangan pakai. Jika dipakai juga yang tidak muat atau terlalu besar, ada kesan buruknya nanti.
 
Terimalah bahawa kehidupan ini bukan soal kesempurnaan dan tercapai apa yang diingini, tetapi ia berkaitan bagaimana kita mehgharga setiap apa yang ada. Bersyukurlah kerana itulah punca kebahagian hidup sebenar.

No comments:

Post a Comment