Monday, 2 December 2024

SEJARAH ASAL NAMA KAJANG

 
Kajang ialah sebuah mukim dan bandar di daerah Hulu Langat, Selangor. Kajang terletak lebih kurang 21 kilomeer sebelah tenggara Kuala Lumpur. Kajang terkenal dengan sate yang sedap sehingga menu sate kajang tersebar di seluruh Malaysia.
 
Terdapat beberapa versi mengenai bagaimana tempat itu dinamakan “kajang”.
 
Menurut satu versi, sekitar tahun 1709, sekumpulan Orang Asli dari suku kaum Temuan telah meneroka kawasan ini. Kumpulan ini dipimpin oleh seorang ketua bernama Batin Seri Alam yang mempunyai beberapa anak termasuk Batin Berchanggi Besi, seorang pemerintah di Sungai Ujong.
 
Kisah bermula apabila Batin Berchanggi Besi pulang dari Johor selepas mengadap pemerintah untuk menjodohkan anak perempuannya, Puteri Mayang Selida. Dalam perjalanan pulang, mereka terpaksa berhenti di suatu kawasan kerana cuaca buruk.
 
Untuk berteduh, mereka membina pondok dan menggunakan daun mengkuang hutan sebagai atap yang dikenali sebagai kajang. Sebagai memperingati peristiwa itu, kawasan tersebut dinamakan Kajang.
 
Versi kedua pula berlaku sekitar 1867-1873, ketika perang saudara di Klang menyebabkan pelarian dari kalangan masyarakat Mandailing dan Bugis. Kedua-dua kumpulan ini bertembung di satu kawasan, tetapi terjadi salah faham kerana makna perkataan berkajang.
 
Bagi masyarakat Mandailing, berkajang bermaksud berpondok. Namun, bagi masyarakat Bugis, ia membawa maksud bertikam atau bergaduh. Salah faham ini mencetuskan pergaduhan di antara kedua-dua pihak.  Walaupun konflik ini diselesaikan, kawasan itu akhirnya dinamakan Kajang merujuk kepada peristiwa tersebut.
 
Manakala versi ketiga berkaitan dengan kisah Raja Alang, seorang keturunan Mandailing yang tiba di kawasan ini pada awal 1800-an. Rombongan beliau menyusuri Sungai Langat dan berhenti di satu tempat untuk berkajang atau membina pondok sementara. Kawasan itu kemudian dinamakan Kajang oleh Raja Alang dan lokasi di mana mereka berkajang kini dikenali sebagai Jalan Mandailing.

No comments:

Post a Comment