Lebai kelarah adalah gelaran kepada
seseorang yang nampak alim tetapi berperangai buruk. Berjubah dan berkopiah,
tetapi perangai jahil, mudah marah, sombong dan mengaku diri bijak.
Masyarakat kita mudah percaya kepada
individu yang berpakaian nampak alim, macam pak haji (mak haji), dan tok guru.
Keadaan inilah diambil kesempatan oleh sesetengah individu untuk menipu.
Banyak kes penipuan dilakukan oleh individu
yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk memperdaya orang ramai. Lelaki
berjubah, berkopiah atau berserban, manakala wanita pula memakai telekung
labuh.
Banyak orang yang sedang dibicarakan di
mahkamah memakai kopiah. Apakah tujuan sebenarnya? Adakah mereka ingin
menunjukkan bahawa mereka sebenarnya alim dan tidak melakukan kesalahan yang
dipertuduhkan terhadapnya?
Perbuatan itu ada lojiknya. Sebabnya,
kebanyakan kita mudah merasa kesihan kepada mereka yang menampilkan pakaian
berbentuk orang alim. Tambah lagi apabila menunjukkan wajah memohon simpati.
Kita bukan bermaksud memperkecil-kecilkan
mereka yang berjubah, berkopiah atau berserban. Tetapi, apa yang ingin
ditekankan di sini ialah jangan mudah percaya kepada seseorang hanya
berdasarkan kepada apa yang dipakainya. Sesiapa sahaja boleh berpakaian
menunjukkan watak alim, sedangkan tidak membuktikan apa yang sebenarnya.
Wajar kita memakai jubah, serban dan
berkopiah dengan niat mengikut sunnah Rasulullah SAW. Perbuatan itu sebahagian
tanda kita kasih kepada Rasulullah SAW.
Tetapi, sesiapa memakai jubah, serban dan
kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan diri lebih alim, perbuatan itu
ditegah dalam Islam yang termasuk dosa.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amalan
melabuhkan itu berlaku pada kain, baju (jubah) dan serban. Sesiapa yang
meleretkan salah satunya kerana bermegah, Allah tidak melihat kepadanya pada
hari Kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai).
Kita digalakkan memakai pakaian yang
menyenangkan perasaan, sesuai dengan cuaca, memudahkan urusan harian, selamat
dan selesa, selain tujuan menutup aurat. Itulah tujuan sebenar
berpakaian.
Firman Allah bermaksud: “Hai anak
Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup
aurat dan pakaian untuk perhiasan.” (Surah al-Akraf, ayat 26).
Maksud kelarah juga merujuk kepada keadaan luarnya
elok tetapi dalamnya rosak seperti keledek yang rosak bahagian dalamnya.
Kelarah juga merujuk kepada ulat dalam buah,
yang menyebabkan buah busuk.