Thursday 7 April 2016

Dengki sifat tercela


Dengki adalah sifat keji dan tercela. Islam menegah keras umatnya berdengki. Banyak keburukan lahir akibat dengki yang boleh melemahkan perpaduan ummah.   

Banyak ayat al-Quran dan hadis menjelaskan tentang keburukan akibat dengki. Dengki adalah satu niat untuk mencari jalan atau tindakan untuk menghilangkan kekayaan, kedudukan, kejayaan dan kebaikan yang diperoleh oleh orang lain. 

Dengki biasanya timbul daripada perasaan dendam, cemburu, marah, benci dan niat jahat. Dengki adalah sifat iblis. Akibat sifat dengki yang menguasai iblis telah mengubah daripada beriman kepada durhaka kepada Allah. 

Iblis menyimpan perasaan dengki terhadap Adam yang dipilih Allah menjadi khalifah di muka bumi.  Iblis dan seluruh keturunan syaitan termasuk golongan laknat disebabkan sifat dengki.

Jelas sekali betapa buruknya kesan dengki. Sesiapa terdapat dalam dirinya sifat dengki, dia mudah dipengaruhi syaitan. Syaitan berusaha menyesatkan manusia sepertimana dia menjadi sasat.  

Allah memberi peringatan kepada manusia tentang niat syaitan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.”  (Surah an-Nisa, ayat 60).

Dengki tergolong dosa besar. Sifat itu bukan sekadar menambah dosa, tetapi juga mengurangkan himpunan pahala. Orang mengamalkan sifat dengki akan mengalami muflis di akhirat apabila kebaikan yang diperoleh melalui amalan lain binasa dek kerana sifat dengki. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dengki itu memakan (membinasakan) kebajikan (pahala), sebagaimana api memakan (membakar) kayu yang kering.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh.

Pembunuhan pertama sesama manusia berpunca perasaan dengki. Peristiwa itu melibatkan Qabil dan Habil, dua anak Nabi Adam yang berebut pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah tersebut dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah, ayat 27 bermaksud: “....Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!.”

Api kemarahan dan dengki Qabil tidak dapat dikawal sehingga sanggup membunuh Habil. Sejarah itu menjadi panduan syaitan mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan manusia. 

Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita. Sesiapa yang reda dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan yang baik di sisi Allah. Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya. 

No comments:

Post a Comment