Monday, 23 May 2016

DENGKI IKUT SIFAT SYAITAN


Sifat dengki adalah sifat utama syaitan.  Setan tergolong hambar ingkar disebabkan adanya perasaan dengki dengan keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada manusia.  Sebab itu syaitan selalu berniat jahat terhadap manusia.

Sikap syaitan (iblis) itu dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kepada Adam, lalu ia sujud kecuali iblis yang telah enggan dan bersikap angkuh.  (Dengan sebab itu) maka jadilah mereka dari golongan yang kufur terhadap Allah.”

Sifat dengki juga ada pada manusia yang didalangi oleh syaitan.  Orang yang mengamalkan sikap berdengki adalah kawan syaitan yang paling akrab.  Syaitan mudah mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dengan menimbulkan sikap dengki.

Dengki ialah perasaan cemburu dengan niat jahat terhadap orang lain.  Perasaan dengki menyebabkan seseorang akan berusaha menghilangkan atau menghalang kebaikan orang lain.  Individu mengamalkan dengki tidak senang hati jika orang lain lebih baik daripadanya.

Sifat suka berdengki amat buruk.  Rasulullah SAW mengumpamakan sifat dengki sebagai penyakit yang mudah berjangkit. 

Syaitan menyedari betapa kesan buruk akibat sikap dengki.  Sebab itu, syaitan amat mengharapkan agar manusia turut melakukan sifat itu.

Individu yang tidak mempunyai pegangan iman yang kuat dapat dipengaruhi dengan mudah oleh syaitan agar mengamalkan sifat dengki.  Manusia yang mengamalkan sifat dengki amat mudah dipengaruhi oleh syaitan untuk melakukan pelbagai kejahatan lain, sehinggakan sanggup melakukan pembunuhan.

Malah, sejarah pembunuhan pertama sesama manusia adalah berpunca dari adanya sifat dengki.  Qabil membunuh Habil kerana berasa dengki terhadap Habil yang dapat mengahwini kembar Qabil yang cantik, sedangkan dia terpaksa berkahwin dengan kembar Habil yang hodoh.

Begitulah buruknya akibat sifat dengki.  Sifat syaitan yang telah membawa keburukan kepada dirinya sendiri dan orang lain.  Oleh itu umat Islam ditegah sama sekali dari mengamalkan sifat dengki. 

Permulaan perasaan dengki syaitan terhadap manusia bermula apabila mengetahui Allah mahu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Syaitan berdengki kepada manusia kerana merasakan dirinya lebih layak untuk menjadi khalifah di muka bumi.  Syaitan berasa megah dan lebih mulia daripada manusia kerana dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah hitam.

No comments:

Post a Comment