Sunday 11 February 2018

HUKUM SOLAT SUNAT KETIKA KHATIB BACA KHUTBAH

Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh al-Nawawi berpendapat, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”

Maka segala amalan sunnah seperti berzikir, membaca al-Quran dan berwirid hendaklah ditinggalkan ketikan imam sudah mula berkhutbah.

Dengan kata lain, jika jemaah baru sampai atau baru masuk ke dalam masjid ketika imam berkhutbah maka diharuskan kepadanya untuk menunaikan sunat tahiyatul masjid dan hendaklah dia mempercepatkan solatnya untuk mendengar khutbah Jumaat pula.

Makruh hukumnya meninggalkan solat sunat tahiyatul masjid. Sabda Nabi SAW bermaksud: "Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat."

Jika sudah di akhir khutbah, maka adalah memadai baginya berdiri menunggu sehingga solat Jumaat dimulakan.

Sesungguhnya mendengar khutbah dibacakan khatib amat penting. Sebab itu, ditegah berkata-kata walaupun sekadar mengungkapkan kata 'diam'.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika engkau berkata kepada temanmu, 'diamlah' ketika mana imam atau khatib menyampaikan khutbahnya, maka engkau melakukan perkara sia-sia, maka tidak ada Jumaat baginya." (Hadis riwayat Muslim, Buhkari dan Tirmizi)

No comments:

Post a Comment