Wednesday 27 June 2018

CITA-CITA TINGGI BAWA KEHANCURAN

Apakah ciri-ciri pemimpin yang ditaati? Mungkin persoalan ini yang sering berlegar di fikiran setiap umat Islam yang umumnya berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah. Maka pelbagai tafsiran akan diberikan terutama daripada pemimpin parti politik.

Persoalan ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk dijadikan propaganda bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan memberikan gambaran mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin menimpa umat Islam.

Kesannya amat jelas iaitu perpecahan di kalangan umat Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk kepada tuntutan orang lain. Ini semua disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apabila meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih tinggi.

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini perlu ditaati walau apa sekali pun. Di negara kita, sejak merdeka sehingga hari ini, Islam dan ummah dapat berkembang dengan pesat dan wujud dasar-dasar yang berteraskan Islam walaupun tidak sepenuhnya kerana kita harus memahami negara ini bukannya milik umat Islam sahaja, sebahagian kecil daripadanya adalah milik penganut agama lain.  

Wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa merekalah yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan musuh-musuh Islam yang nyata dan jelas.  

Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam berpecah kerana kelompok-kelompok ini cuba menegakkan sesuatu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan sesama Islam. 

Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain mengganggu gugatnya.

Perpaduan sesama umat Islam amat penting. Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT. Kita hendaklah sentiasa memperbaiki hubungan persaudaraan. Maknanya, kalau ada perselisihan, hendaklah kamu mendamaikan antara kedua-duanya. .

Sebagai umat Islam kita perlu mentaati pemerintah selagi ia tidak kufur kepada Allah SWT. Tindakan menentang dan menyebakan keburukan kerajaan akan memberikan ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil peluang untuk mengganggu gugat urusan negara sehingga menimbulkan pelbagai ancaman.

Pakar motivasi percaya individu yang ingin berjaya perlu mempunyai impian yang biasa disebut sebagai matlamat atau cita-cita. Mempunyai cita-cita biasanya disebut sebagai ambitious. Dalam semua keadaan, iaitu sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, perlu ada cita-cita dalam diri yang menjadi hala tuju atau penentu kepada landasan tindakan bagi mencapainya.

Dunia politik agak berbeza bentuk cita-citanya. Biasanya, apabila individu terjun dalam bidang politik, matlamat atau cita-citanya bukan kerana dia ingin menjadi ketua politik yang kelak mendapat nama, pangkat dan kuasa, sebaliknya istilah popular daripada mulut kebanyakan orang politik ialah berkhidmat untuk rakyat.

Rupa-rupanya sikap bercita-cita besar dalam politik begitu berbahaya kerana aura daripada sikap itu boleh menimbulkan tekanan yang secara tidak sedar turut meretakkan landasan perjalanan yang kononnya berkhidmat untuk rakyat.

Apabila dikaitkan sikap bercita-cita terlalu tinggi dengan gelora politik semasa, nampaknya parti politik di negara kita sedang menghidapi sindrom ini.

Masing-masing ada cita-cita tersendiri. Sungguhpun begitu, bercita-cita terlalu tinggi, sedikit sebanyak mendatangkan ketidakstabilan politik negara, selain melencongkan matlamatnya daripada matlamat asal.  

Sudah tentu, sikap bercita-cita terlalu tinggi di kalangan mereka yang ingin bertanding sentiasa membara. Ini biasa berlaku namun, sesiapa pun harus matang dengan mengambil kira pengalaman lampau.

Politik wang, ampu dan melobi adalah kesan daripada sikap bercita-cita terlalu tinggi yang tidak mampu dikawal ahli. Apa yang dibimbangkan apabila sikap bercita-cita terlalu tinggi di kalangan ahli akan merosakkan parti dan negara.  

Disebabkan gelojoh terhadap kedudukan dalam parti sesebuah parti hancur hanya disebabkan sikap ahlinya.

Setiap ahli politik perlu mengikis sikap bercita-cita terlalu tinggi yang keterlaluan. Rakyat dan negara perlu diberi keutamaan lebih daripada polemik dalam politik. Ahli politik perlu berusaha mengurangkan polemik yang ada sebaliknya lebih memberi fokus kepada pembangunan untuk kepentingan rakyat.

No comments:

Post a Comment