Wednesday 4 July 2018

BAHASA INDAH TANDA BAIK BUDI

Yang merah saga, yang kruik kundi, yang indah bahasa, yang baik budi. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa. Di seluruh dunia terdapat lebih daripada 10,000 bahasa pertuturan yang digunakan dan setiap bahasa pula mempunyai beberapa dailek mengikut lingkungan tempat ia dipertuturkan.

Setiap bahasa mempunyai ciri keistimewaan masing-masing dikenali seni bahasa yang mempunyai pengaruh besar di dalam masyarakat yang menjadi lambang peribadi penuturnya. 

Tutur kata baik diumpamakan seperti mutiara yang yang akan menarik minat orang lain mendengarnya dan meletakkan penuturnya sebagai orang yang disenangi dan disanjungi.   

Manakala itu, perkataan yang tidak baik dikeluarkan dari mulut tak ubah nilainya seperti najis yang dikaitkan dengan segala perkara yang tidak baik dan hina. 

Malangnya ada sesetengah orang yang lebih suka mengeluarkan perkataan yang tidak baik dengan menggunakan bahasa kasar dan mencarut, terutama ketika bergaduh dan tuduhan melulu yang didorong oleh sifat kesyaitanan. 

Bahasa najis tidak wajar diucapkan dalam apa jua keadaan sekalipun biarpun ingin menggambarkan keburukan seseorang kerana masih banyak perkataan baik yang boleh digunakan untuk tujuan itu. 

Nenek moyang kita mengajar bagaimana hendak menggambarkan keburukan peribadi orang lain. 

Orang Melayu menggunakan bahasa kias untuk menegur seseorang atau memperkatakan sesuatu perkara yang tidak pasti yang disebutkan tidak terus membawa maksud kepada apa yang hendak diucapkan. Namun begitu, maksud tersirat dalam bahasa kias amat kuat kesannya.

Sesungguhnya, jiwa orang Melayu cukup sensitif untuk memahami kata kias. Bagaimanapun, disebabkan dikiaskan, orang yang ditujukan perkataan itu tidak begitu tersinggung, malah dalam keadaan rasa tidak senang hati masih boleh tersenyum. 

Kata kias amat berkesan mendidik dan membetulkan kesalahan seseorang secara berhemah. 

Sememangnya dalam masyarakat kita mementingkan agar anak-anak diajar bersopan santun dalam bertutur. Ibu bapa akan malu jika anak-anak mereka menggunakan perkataan biadab dan menghina ketika bercakap. Rasa malu itu bertambah-tambah lagi jika perbuatan itu dilakukan di khalayak ramai.

Nilai bahasa Melayu tidak boleh dijual beli. Harganya tinggi tidak mampu dibayar oleh  sesiapa pun selagi bangsa memperjuangkan maruahnya. Justeru, kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang sengaja menjatuhkan nilai bahasa Melayu.   

Kita harus berpegang kepada pepatah; kata-kata itu akal dan budi. Bersama-samalah kita menggunakan bahasa sopan dan betul secara tepat. 

Bahasa Melayu atau dalam konteks negara kita sekarang disebut Bahasa Malaysia amat mementingkan sopan santun. Kehalusan Bahasa Malaysia bukan sekadar pada seni bahasanya, tetapi cara bagaimana dipertuturkan.  

Sikap sopan santun dalam bahasa Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah lahir beberapa kategori bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa pasar dan lain-lain.  

Setiap bentuk bahasa itu diucapkan oleh golongan, di tempat atau masa tertentu yang melambangkan tertib dan harmoninya keistimewaan bahasa Melayu. Golongan raja atau mereka berada di istana akan menggunakan bahasa istana. Rakyat biasa pula menggunakan bahasa basahan dalam kehidupan seharian. 

Bahasa yang diucapkan secara sopan lebih sedap didengar dan menjadi daya penarik supaya orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya menjadi lebih berminat meneruskan percakapan atau mendengarnya.  

Kita juga menggunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan orang lebih tua atau mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada kita. Bahasa sopan mempunyai tanda hormat kita kepada orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya.

Semasa bercakap pastikan perkataan yang diucap tidak menimbulkan perasaan tidak senang atau menyakiti hati orang lain. Seboleh-bolehnya kita hendaklah menggunakan perkataan yang akan mengembirakan orang yang mendengar percakapan itu. 

Kata pepatah, kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Justeru, perlu berhati-hati semasa bercakap. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan. Seringkali seseorang itu menerima kesusahan disebabkan perkataan yang diucapkan olehnya.

Perkataan yang bermaksud tidak baik tetap tidak baik maksudnya biarpun ia diucapkan oleh mereka yang dianggap baik. Perkataan yang diucapkan oleh seseorang melambangkan peribadinya.

No comments:

Post a Comment