Tuesday 13 October 2020

DITEGAH GUNA GELARAN BURUK KEPADA ORANG LAIN

Orang beriman dilarang menggelarkan nama-nama buruk kepada orang lain. Sesiapa melakukan perbuatan buruk itu dan tidak bertaubat, maka dialah menzalimi diri sendiri. Perkataan buruk yang dilemparkan kepada orang lain itu umpama meludah ke langit yang akan terkena muka sendiri.

Justeru, masyarakat perlu mementingkan penggunaan bahasa sopan di semua peringkat. Tidak kira apapun keadaan dan perasaan ingin diluahkan, mengucapkan kata-kata mencarut dan kasar akan mencerminkan sikap buruk penuturnya.

Sesungguhnya, orang mengucapkan perkataan kasar sebenarnya bersikap sombong, tidak menghormati orang lain kerana merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Tidak patut kita mengkufuri nikmat lidah dengan menggunakan ke jalan kejahatan.

Anak-anak diajar bersopan santun dalam bertutur. Ibu bapa akan malu jika anak-anak menggunakan perkataan biadab dan menghina. Rasa malu dan aib itu bertambah-tambah lagi jika perbuatan itu dilakukan di khalayak ramai.

Pepatah menyebut, ‘kata-kata itu akal dan budi’. Bahasa yang diucapkan secara sopan lebih sedap didengar yang menjadi daya penarik supaya orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya menjadi lebih berminat meneruskan percakapan atau mendengarnya.  

Penggunaan bahasa sopan bermaksud tanda hormat terhadap orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya dapat mengelak salah faham dan perasaan tidak senang pihak lain. 

Kata pepatah, ‘kata itu lebih tajam daripada mata pedang’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan’. Seringkali orang menerima kesusahan disebabkan perkataan buruk yang diucapkan akibat tidak berhati-hati.

Sebab itu, berfikir dengan teliti sebelum bercakap. Lebih baik kita dipandang tidak lancar bercakap, daripada terlepas cakap. Dua tiga patah perkataan yang kita ucapkan mungkin menimbulkan rasa tidak senang banyak orang. Ia umpama ledakan bom yang memusnahkan apa sahaja yang berada di sekelilingnya.

Perkataan diucapkan oleh seseorang melambangkan peribadi dan keimanan. Tanda kekuatan iman dapat dibuktikan apabila seseorang melakukan apa yang baik dan menjauhkan perbuatan yang ditegah. 

No comments:

Post a Comment