Apabila
berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan, rakyat mendesak kerajaan
menetapkan harga untuk mengelak pengguna tanggung rugi.
Sebenarnya isu kenaikan harga barang sudah lama berlalu. Bakan ia turut terjadi pada zaman Rasulullah SAW.
Dalam mendepani isu kenaikan harga,
Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa kerajaan tidak berhak sewenang-wenang
menetapkan harga.
Hal ini dapat difahami melalui
sebuah hadis bermaksud: Hadis Anas bin Malik, dia berkata: “Harga barang telah
menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika pada zaman Rasulullah SAW. Maka
orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan
harga untuk kami”.
Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang
menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya
aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan
kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau
harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Darimi dan
lain-lain. Hadis ini dinilai sahih oleh
al-Albani)
Hal berkaitan perniagaan ini telah
dibincangkan oleh Akademi Fiqh OIC yang bersidang di Kuwait pada 1-6 Jamadil
Awwal 1409H / 10-15 Disember 1988 memutuskan:
1. Prinsip asas al-Quran dan
as-Sunnah adalah setiap individu bebas berjual beli berdasarkan prinsip dalam
surah an-Nisaa’ ayat 29: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta
sesama kamu dengan cara yang salah kecuali dengan jual beli suka sama suka”
2. Tidak ada had keuntungan atas
seseorang peniaga dalam sesuatu transaksi. Secara umumnya bergantung kepada
peniaga, industri, konsep perniagaan dan barang jualan. Peniaga juga perlu
menitik berat etika perniagaan Islam yang sewajarnya.
3. Dalam perniagaan, Islam melarang
perbuatan-perbuat jahat seperti penipuan, pemalsuan, menyorokkan maklumat
penting, monopoli yang memberi kesan buruk dalam masyarakat.
4. Kerajaan juga tidak boleh
terlibat dalam menetapkan harga sesuatu barang kecuali dalam keadaan tertentu
(seperti untuk memecah monopoli, kartel perniagaan yang berpakat menaikkan
harga). Dalam keadaan tersebut, kerajaan perlu masuk campur untuk menghapuskan
perbuatan jahat tersebut.
Justerus, tindakan mereka yang
marah dan menentang kerajaan apabila berlaku turun naik harga dalam pasaran
adalah tidak memahami situasi sebenar.
Dalam istilah atau teori ekonomi, sebarang pergerakan harga adalah berdasarkan
kepada penawaran dan permintaan. Harga akan naik jika permintaan meningkat,
sedangkan penawaran tidak bertambah atau berkurangan.
Cara terbaik untuk mengatasi kesan
kenaikan harga barang dan perkhidmatan ialah dengan melakukan langkah berjimat
cermat. Islam suka kepada mereka yang berjimat cermat dan sederhana dalam
kehidupan.
Rakyat negara kita dalam kategori
tidak berbelanja dengan berhemah. Biarpun harga naik, kuasa membeli masih
tinggi. Sebab itu, rakyat masih dilihat dapat berbelanja seperti biasa biarpun
wajud peningkatan dalam barang keperluan.
Sikap ini mungkin didorong oleh
peluang mendapat pembiayaan melalui institusi kewangan dengan mudah, selain
kestabilan ekonomi negara. Perbelajaan mewah seperti melancong, membeli kereta,
memakai pakaian berjenama, menginap di hotel dan sebagainya masih mampu
dilakukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment