Wednesday 7 October 2020

SYUKUR JADI PUNCA REZEKI MENGALIR TANPA HENTI

Ungkapan syukur 'alhamdulillah' sering terlontar dari mulut sebagai bentuk rasa syukur dengan nikmat kebaikan diterima sepanjang perjalanan hidup bagi menggarap keredaan Allah SWT dengan melakukan ketaatan terhadap-Nya.

Allah tidak mensia-siakan pengabdian hamba-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Istighfar adalah rintihan manusia kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan semua kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Nikmat boleh dikecapi dengan banyak mengingati Allah SWT. Firman-Nya: "(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd, ayat 28)

Kita jangan jadi manusia mementingkan diri. Berbuat baiklah kepada orang yang lemah termasuk menggembira dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim, fakir miskin, isteri serta anak kecil. Sabda Nabi SAW: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan rezeki melainkan kerana orang lemah dalam kalangan kamu." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rezeki secara umum adalah segala yang memberikan manfaat kepada badan yang berupa harta, rumah, kenderaan, kesihatan dan selainnya baik berasal daripada yang halal mahupun haram serta rezeki jenis ini Allah SWT berikan kepada seluruh makhluk-Nya, Muslim ataupun bukan Muslim.

Banyaknya pemberian jenis rezeki yang pertama ini tidak menunjukkan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT, begitu pula sedikitnya rezeki dunia yang Allah SWT berikan kepada seseorang tidak menunjukkan kehinaan orang itu.

Allah SWT adalah sumber dan pemberi rezeki yang ada ketikanya terdapat orang berasakan rezeki tidak mencukupi, ada putus asa dengan hidup dan rasa sangat terhina kerana ketinggalan jauh berkaitan rezeki, lantas hati gundah-gulana.

Apabila rezeki tidak disyukuri, macam-macam akan terjadi. Lagi bahaya jika jatuh syirik kerana beramal dengan amalan kononnya menjemput rezeki, tetapi menyalahi akidah.

Allah memberi rezeki yang mengalir tanpa henti jika kita bersungguh-sungguh dan memahami kehendak-Nya maka kita tidak akan berputus asa daripada rahmat-Nya.

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas, seperti tenang dengan membaca al-Quran, mendapat anak yang elok didikannya sejak dalam rahim, pemakanan dan makan yang baik serta halal, mendapat jiran baik dan dia sendiri berusaha jadi baik dan memugar rezeki yang berkat.

Dengan tawakal, seseorang itu direzekikan rasa kaya dengan kurniaan Allah SWT seperti firman-Nya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)." (Surah at-Thalaq, ayat 3)

Nabi SAW bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, pagi lapar dan ketika petang sudah kenyang." (Hadis riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim)

Kita perlu menyedari nikmat rezeki adalah pinjaman Allah SWT yang perlu dimanfaatkan dan diinfakkan sebagai pembersih harta dalam bentuk zakat demi menggarap sakinah diri serta keredaan Allah SWT.


No comments:

Post a Comment