Sunday, 1 November 2020

RASULULLAH DARI KETURUNAN TERPILIH

Jalur keturunan baginda sampai kepada Nabi Ibrahim. Semuanya mengamalkan agama Hanif yang menyembah Allah. Bukan sahaja tidak dinodai zina, bahkan dalam kalangan orang yang sujud.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh ibu dan ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliyyah." (Hadis Riwayat Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir)

Keimanan nasab ini bukti makbulnya doa Nabi Ibrahim yang bermunajat: "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” (Surah al-Baqarah, ayat 128)

Allah berfirman yang bermaksud: "Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud." (Surah Syu'ara',  ayat 218- 219)

Ibnu Abbas mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi daripada kalangan Sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah).

Kadangkala berlaku salah faham terhadap hadis berikut: Daripada Anas RA  bahawa ada seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, ayahku berada di mana?" Nabi SAW menjawab: "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpaling pergi, Baginda SAW, memanggilnya lalu bersabda: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim)

Jawapan:  Lafaz 'ayah' dalam hadis ini bermaksud 'ayah saudara' Nabi. Adat bangsa arab, kalimat 'abi' yang bermakna 'ayah' di situ membawa makna umum, tidak semestinya makna bapa kandung, boleh jadi bapa saudara. Kalimat yang paling tepat untuk ayah kandung ialah 'walid.'

Kata-kata Nabi ini bertujuan agar lembut hati lelaki tersebut, tidak kembali murtad dan tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah SAW kerana lelaki 'arabi terkenal dengan sikap degil dan keras hati. Ia juga suatu strategi untuk menarik lebih ramai kaum kerabatnya memeluk Islam.

Al-Quran merekodkan yang Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya 'abi'nya diampunkan, tetapi dilarang Allah. Namun, pada ayat lain, Nabi Ibrahim berdoa supaya 'walid'nya diampunkan, hal ini dibenarkan Allah. Perbezaan dua keadaan ini menunjukkan ada beza antara makna 'abi' untuk ayah saudara dengan ayah kandung.

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, ibu Rasulullah, Aminah, pernah berwasiat kepada baginda yang ketika itu berusia 5 tahun. Rasulullah sewaktu itu menemani ibunya yang sedang sakit tenat.

Bondanya berkata: "Semoga Allah memberkatimu daripada kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; daripada sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliyyah."

Bersama kita renungkan jika Baginda SAW adalah manusia terpilih sebaik-baik makhluk maka sudah tentu status ini turut merangkumi ibu bapa Baginda SAW.


No comments:

Post a Comment