Thursday, 7 October 2021

GUNUNG PULUT, LENGGONG

 
Bukit Pulut atau dipanggil juga Gunung Pulut adalah salah satu geotapak menarik untuk dikunjungi. Gunung Pulut adalah geotapak penting mewakili landskap permatang kuarzit yang berusia sekitar 500 juta tahun.

Geotapak ini mewakili permatang jurus hampir menegak pelapisan tebal batuan kuarzit. Permatang yang mempunyai ketinggian sekitar 651 m berjurus timur laut-barat daya, hampir 1 km panjang dan rabung/puncak yang sempit.

Geotapak ini berada di dalam Hutan Simpanan Kekal Papulut dan terpulihara di bawah Enakmen Nombor Warta 960 Jabatan Perhutanan Perak. Geotapak ini mempunyai nilai saintifik bertaraf kebangsaan.

Komuniti setempat menyediakan pakej mendaki bukit untuk menikmati keindahan panorama.

Tempoh pendakian mengambil masa di antara satu jam setengah hingga dua jam setengah mengikut kemampuan pendaki. Kebanyakan pendaki memulakan pendakian pada awal pagi seawal 4.30 pagi agar sampai puncak sekitar jam 6 pagi agar berkesempatan untuk melihat matahari terbit dan awan karpet.

Pada peringkat awal pendakian, laluan adalah mendatar melalui kawasan ladang. Kemudian apabila masuk hutan, baharu laluannya berbukit, melalui kawasan hutan tebal dan hutan buluh.

Baki 10% laluan sebelum sampai puncak berbentuk laluan berbatu yang curam, 80 - 90 darjah kecuraman, agak licin, bahaya dan perlukan fokus serta sangat berhati-hati. Kiri kanan gaung yang agak menakutkan bagi hikers yang gayat.

Ada tali disediakan untuk memanjat kawasan curam. Kalau ramai orang, rentak pendakian agak lambat di trek batu ni, sebab nak naik kena bergilir-gilir. Tak boleh naik ramai-ramai, takut risiko jatuh dan kecederaan.

Di puncak Gunung Pulut tanahnya berbatu dan pokok yang tumbuh adalah jenis renek. Kawasan agak lapang dan sesuai untuk berkemah.

Pemandangan 360 darjah dan sangat tenang dengan tiupan angin yang dingin. Sangat menenangkan untuk merenung kehebatan ciptaan Allah yang Maha Hebat.

Pemandangan gunung-ganang dan boleh nampak kawasan penempatan sekitar Gerik. Puncak yang sangat strategik untuk melihat matahari terbit dan awan karpet, pemandangan yang sangat menakjubkan.

No comments:

Post a Comment