Friday 26 November 2021

CARA MEMBALUT BUAH

 
Mengapa buah perlu dibalut? Banyak sebab mengapa buah perlu dibalut. Sebab pertama ialah untuk mengelak buah diserang oleh lalat buah. Lalat buah memang kecil, tetapi kesan serangan lalat buah boleh merosakkan buah sehingga hasilnya tidak sempat dipetik atau tidak sesuai lagi untuk dimakan.

Di kawasan yang terdapat burung gagak, membalut buah dapat mengelak ia dimakan burung yang dianggap bijak itu. Burung gagak biasanya hanya akan makan atau mencuri buah yang sudah masak.

Jika buah dibalut, burung gagak tidak dapat mengetahui mana buah yang telah masak. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, burung gagak akan membelek atau mengoyak pembalut untuk melihat mana buah yang telah masak.

Sebagaimana dijelaskan awal tadi, sebab utama buah dibalut ialah untuk mengelak ia diserang oleh ulat buah.

Serangan lalat buat yang kritikal boleh menyebabkan buah rosak sebelum matang atau sebelum dipetik. 

Kalaupun sempat matang, kualiti buah terjejas dan hanya sebahagian buah boleh dimakan. Buah sedemikian tidak lagi sesuai untuk dijual.

Hasil pendapatan petani turut terjejas disebabkan kualiti buah rosak akibat diserang lalat buah kerana lambat dibalut.

Antara buah yang perlu dibalut ialah mangga, belimbing besi dan jambu batu. Buah tersebut memang mudah terdedah kepada serangan lalat buah jika tidak dibalut.

Biarpun penggunaan racun serangga boleh digunakan untuk membunuh atau menghalang kedatangan lalat buah, namun keberkesannnya agak terhad dan boleh mendatangkan mudarat. 

Membalut buah dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia daripada mencemarkan alam sekitar selain mengurangkan kesan sampingan kepada pengguna.

Maka, cara terbaik untuk mengatasi masalah lalat buah ialah dengan membalut buah berkenaan. Pembalut yang digunakan sama ada plastik sepenuhnya atau kertas separa plastik.

Proses membalut buah di pokok rendah atau dahan yang merendang tidak mendatangkan masalah. Namun, kerja-kerja itu agak sukar jika buah berada di tempat tinggi. Penanam perlu memanjat pokok berkenaan atau menggunakan tangga.

Untuk memudahkan kerja-kerja membalut buah, Jabatan Pertanian telah mencipta alat pembalut buah mangga bergalah bagi memudahkan pengusaha ladang atau petani mengeluarkan hasil berkualiti.

Alat pembalut buah itu boleh dilaraskan mengikut ketinggian dikehendaki pada paras 1.5 hingga lima meter.

Alat berkenaan mudah digunakan, murah, berkesan dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan tinggi serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Inovasi ini meningkatkan keupayaan kerja membalut buah mangga pada pokok tinggi sehingga 90 peratus.

Ia memudahkan kerja membalut mangga pada pokok yang tinggi tanpa menggunakan tangga serta mudah dibawa ke ladang, meningkatkan kualiti hasil, sekali gus menambah pendapatan petani dan pengusaha sehingga 80 peratus.

Komponen utama alat ini iaitu paip polivinil klorida (PVC), besi, galah aluminium, pembalut buah dan nilon.

Alat ini boleh dibeli di kedai menjual input pertanian dan juga melalui dalam talian.

Selain alat yang dihasilkan Jabatan Pertanian, banyak juga alat yang seumpamanya yang dicipta oleh syarikat swasta.

No comments:

Post a Comment