Thursday 27 January 2022

MANUSKRIP AL-QURAN TERAWAL MASIH ELOK

 
Mungkinkah manuskrip al-Quran ini (gambar) adalah yang pertama ditulis pada zaman Abu Bakar atau Usman? Analisis radiokarbon yang dilakukan di Universiti Oxford menunjukkan naskhah itu dihasilkan sekitar 568 hingga 645 Masihi dengan ketepatan 95.4 peratus.

Tinggalan sejarah berharga yang dipercayai ditulis kurang 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah itu milik Universiti Birmingham, London.

Sejarah penulisan naskah al-Quran lengkap pertama dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar. Tugas mengetuai gerakan mengumpul ayat-ayat al-Quran dilakukan oleh Zaid bin Thabit. Beliau merupakan bekas jurutulis bagi Rasulullah.  

Beliau merupakan penulis tetap wahyu, selain beberapa lagi sahabat. Selain itu Zaid bin Thabit juga merupakan seorang ahli khat yang terbaik ketika itu.

Zaid bin Thabit sedar tanggungjawab diserahkan kepadanya amat berat dan dirasakan tugas tersebut lebih berat daripada memindahkan sebuah bukit. Namun, demi melaksanakan satu tanggunjawab untuk kebaikan seluruh umat manusia, Zaid bin Thabit menerima dengan hati terbuka. 

Setelah kesemua ayat al-Quran berjaya dikumpul dan dibukukan, dan disahkan betul oleh sahabat yang hafal, ia disimpan di rumah Syidina Abu Bakar. Ayat al-Quran yang lengkap satu buku itu dinamakan Mashaf Imam.  

Selepas kewafatan Syidina Abu Bakar, ia disimpan pula di rumah Syidina Umar sebagai khalifah dan selepas kewafatannya beralih pula kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah.

Pada masa pemerintahan Syidina Usman bin Affan, bilangan Mashaf Imam diperbanyakkan dan diedarkan keseluruh kawasan pemerintahan Islam. Penyebaran itu bagi mengelak daripada berlakunya kekeliruan di kalangan penganut Islam di kawasan jauh dari pusat pemerintahan di Madinah, di mana sukar untuk membuat rujukan.

Selain dikirimkan senaskah al-Quran lengkap, turut dikirimkan seorang pembaca al-Quran yang mahir bagi membacakannya kepada penduduk di kawasan berkenaan agar dapat ditentukan keseragaman bacaannya. 

Selepas beberapa salinan Mashaf baru dibuat, Syidina Usman bin Affan mengarah agar Mashaf asal dan catatan-catatan ayat al-Quran yang masih disimpan sahabat dibakar. Mashaf baharu kemudiannya dikenali Mashaf Usmani, yang kekal sekarang.

Pada mulanya penulisan huruf-huruf al-Quran tidak diberi tanda titik dan baris. Pembacaannya dapat dilakukan dengan baik oleh umat Islam pada ketika itu. Bagaimanapun, setelah Islam berkembang ke merata tempat, maka ia sukar untuk dibaca oleh orang bukan berbangsa Arab.

Untuk mengelak kekeliruan, ia diberikan titik dan baris. Pada peringkat awal hanya baris ditambah. Orang yang bertanggungjawab melakukan tugas tersebut ialah Abu Aswad Dauli semasa pemerintahan Muawiyah.

Seterusnya, pada zaman Abdul Malik bin Marwan, ia mula diberikan titik untuk membezakan huruf-huruf yang sama bentuknya. Tugas tersebut disempurnakan oleh Nashar bin Ashim. 

No comments:

Post a Comment