Wednesday 4 January 2023

GUNA PAPAN BATU SALIN NOTA

 
Pelajar era tahun 1950-an dan sebelumnya menggunakan papan batu sebagai medium tempat menulis. Papan batu atau juga dikenali sebagai papan selisih diperbuat daripada kepingan kayu sebagai bingkai dan permukaan lepaan batu sebagai medium tempat tulis.
 
Ia juga dipanggil papan selit kerana kebanyakan murid-murid membawa ke sekolah dengan cara menyelit di bawah ketiak sahaja.
 
Sebenarnya perkataan selit itu berasal daripada perkataan Inggeris ‘slate’ bermaksud batu berbentuk kepingan.
 
Papan batu berfungsi sebagai medium untuk menulis dan menyalin nota ketika belajar. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah "salin dan hafal".
 
Mula-mula, murid akan menulis di permukaan papan batu tentang apa yang diajar oleh guru, kemudian cuba untuk menghafalnya sebelum tulisan itu dipadam.
 
Tulisan itu akan dipadam bagi membolehkan tulisan baharu ditulis dan kemudian dihafal. Perkara yang sama diulang beberapa kali setiap kali ada ilmu pelajaran yang baharu.

Sejenis pensil yang diperbuat daripada batu digunakan sebagai alat untuk menulis di papan batu. Pensil ini dikenali sebagai kalam batu.
 
Jika menulis setiap hari, kalam ini boleh digunakan untuk tempoh 3 bulan sebelum ia menjadi sangat pendek sehingga tidak boleh dipegang dengan tangan lagi.

Kalam batu biasanya dijual bersama-sama dengan papan batu. Kalau nak beli kemudian, harganya lebih mahal sikit. Dua batang kalam ini dijual pada harga 5 sen sahaja.

Untuk memadam tulisan di papan batu, boleh gunakan kain yang dibasahkan dengan sedikit air. Kadangkala ada yang memadam dengan menggunakan batang anggerik atau batang pokok yang ada kandungan air atau cecair yang boleh berfungsi sebagai pemadam.
 
Murid-murid perlu berhati-hati menggunakannya atau ketika membawanya kerana papan ini boleh pecah jika terjatuh.

No comments:

Post a Comment