Saturday 15 February 2020

SIFAT ITIK PENELUR KHAKI CAMPBELL

Itik yang dipeliharan untuk tujuan mendapatkan telur dipanggil itik penelur. Jenis itik penelur paling terkenal dinamakan itik khaki campbell. 

Itik ini adalah hasil kacukan daripada itik Indian Runner dan Rouen. Dihasilkan oleh Sir Adele Campbell pada tahun 1940-an di England. Sebab itu ia dipanggil itik khaki campbell. 

Di Kelantan ia juga dipanggil 'itik gemba'. Itik jenis ini mempunyai kadar penghasilan telur yang paling tinggi berbanding itik jenis lain.

Itik khaki campbell mempunyai sifat yang amat sensitif, mudah stress dan liar. Itik ini juga boleh mati jika berlaku perubahan cuaca yang ketara, termasuk jika kesejukan hujan.

Sebarang bentuk gangguan yang mereka tidak biasa akan menyebabkan mereka bertempiaran lari ketakutan. Perkara ini yang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan produktiviti telur.  

Walaubagaimanapun itik ini mudah dikawal dan agak berdisiplin. Semasa itik ini masih di peringkat anak mudah diajar dengan isyarat bunyian isyarat. Isyarat ini dibunyikan setiap kali memberi makan kepada itik-itik sehingga sudah biasa dan kenal bunyi itu.

Penggunaan bunyi isyarat penting jika menggunakan kaedah pemeliharaan lepas bebas atau itik tidak dikurung sepanjang masa di dalam reban. 

Pada waktu pagi itik akan dilepaskan keluar dari reban selepas diberi makan dan bebas merayau. Tujuannya adalah untuk mengelakkan itik menjadi tertekan. Cara ini dapat dilakukan jika tinggal di kawasan kampung atau tepi bendang. 

Itik yang dilepaskan merayau tidak menghadapi masalah pulang ke reban apabila dibuat bunyi isyarat. 

Tambahan itik jensi khaki campbell memang ada tabiat akan pulang ke reban apabila menjelang malam. Itik akan berbaris pulang ke reban dengan santai. Sebab itu ada pepatah 'seperti itik pulang ke reban'.

Dengan menggunakan kaedah lepas bebas ini serta hanya menggunakan makanan yang diproses sendiri, lebih dari 90% itik bertelur dengan baik, dan jumlah ini kekal selama beberapa bulan sebelum tibanya musim meluruh.

Musim meluruh bermaksud apabila sampai jangka masa tertentu, bulu itik akan meluruh, ketika itu itik akan berhenti bertelur seolah olah berehat sekejap daripada bertelur, apabila bulunya penuh semula, ia akan bertelur balik.

Tetapi musim meluruh ini bukan berlaku serentak kepada semua itik, dalam masa tertentu ada itik yang meluruh dan ada yang tidak. Yang meluruh akan tidak akan bertelur, dan yang penuh bulu akan bertelur. Apabila yang meluruh penuh bulu, ada yang penuh bulu akan mula meluruh.

Begitulah seterusnya. Bagi itik yang meluruh itu, memang tidak ada rawatan khas untuk memaksanya bertelur balik. Hanya masa yang menentukan bila itik akan penuh bulu dan bertelur semula. Sebab itulah adanya peningkatan dan penurunan hasil telur.

No comments:

Post a Comment