Saturday, 26 May 2018

MENDAPAT REDA ALLAH CARA BEKERJA

Urusan mencari rezeki dan berhubungan sesama manusia bukan saja untuk kepentingan diri sendiri. Bahkan, segala aktiviti mendatangkan kebaikan adalah untuk seluruh umat Islam dan manusia sejagat. 

Kelemahan umat Islam kini adalah disebabkan berpunca kelemahan individu. Bilangan individu Islam yang miskin, melarat dan tidak berpengetahuan lebih banyak. Hal ini menyebabkan umat Islam dengan mudah ditindas dan dijadikan mangsa oleh pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka. 

Kini di seluruh dunia nasib umat Islam diselubungi malang. Namun keadaannya tidak sedemikian di negara kita disebabkan kita berupaya membangunkan ekonomi dan kemudahan untuk rakyat. 

Tetapi, apa dinikmati ini tidak kekal lama jika kita tidak terus berusaha mengekalkannya. Adalah menjadi tanggungjawab kita berusaha gigih, serta mengelak segala sengketa sesama sendiri yang boleh menyebabkan kita lemah. 

Tanamlah semangat dan cita-cita untuk berubah ke arah kehidupan lebih baik. Usaha ini adalah satu bentuk hijrah yang amat digalakkan dalam Islam. Kita perlu berusaha untuk diri sendiri, serta kesejahteraan seluruh ummah. 

Sesungguhnya bekerja merupakan permulaan kepada banyak ibadat. Tidak sempurna sembahyang jika dalam keadaan pakaian yang tidak menutup aurat dan kotor. Untuk membeli kain dan sabun membersihkannya memerlukan wang yang diperolehi dengan berkerja.

Untuk menunaikan fardu haji memerlukan sejumlah wang yang agak besar. Hanya mereka yang bekerja gigih menyimpan wang mampu menunaikan fardu haji. Manakala berzakat dan sedekah juga hanya mampu dilakukan oleh golongan berada.

Jelaslah bekerja mencari rezeki atau kekayaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup di dunia, bahkan membolehkan persiapan mengecapi kebahagiaan hidup di akhirat.

Islam menekankan kepada kekuatan ekonomi umat Islam agar dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan dapat beribadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Malah kekayaan merupakan satu cara dakwah. Umat lain mudah menerima Islam jika melihat keadaan umat Islam yang sempurna kehidupan dengan kekayaan dan budi pekerti yang mulia. Segala keperluan masyarakat dapat disediakan dengan sempurna dan usaha-usaha kebaikan dapat dijalankan sepenuhnya.

Bekerja perlu dilakukan tanpa mengira usia selagi berdaya melakukannya. Bekerja bukan terhad makan gaji atau melakukan sesuatu yang mendapat upah. Sebaliknya berkerja itu termasuklah melakukan sebarang tugas yang mendatangkan kebaikan, termasuklah kerja-kerja sukarela. 

No comments:

Post a Comment