Setiap bahasa mempunyai ciri
keistimewaan masing-masing dikenali seni bahasa yang mempunyai pengaruh besar
di dalam masyarakat yang menjadi lambang peribadi penuturnya.
Tutur kata baik diumpamakan seperti
mutiara yang yang akan menarik minat orang lain mendengarnya dan meletakkan
penuturnya sebagai orang yang disenangi dan disanjungi.
Manakala itu, perkataan yang tidak
baik dikeluarkan dari mulut tak ubah nilainya seperti najis yang dikaitkan
dengan segala perkara yang tidak baik dan hina.
Malangnya ada sesetengah orang yang
lebih suka mengeluarkan perkataan yang tidak baik dengan menggunakan bahasa
kasar dan mencarut, terutama ketika bergaduh dan tuduhan melulu yang didorong
oleh sifat kesyaitanan.
Bahasa najis tidak wajar diucapkan
dalam apa jua keadaan sekalipun biarpun ingin menggambarkan keburukan seseorang
kerana masih banyak perkataan baik yang boleh digunakan untuk tujuan itu.
Nenek moyang kita mengajar bagaimana
hendak menggambarkan keburukan peribadi orang lain.
Orang Melayu menggunakan bahasa kias
untuk menegur seseorang atau memperkatakan sesuatu perkara yang tidak pasti
yang disebutkan tidak terus membawa maksud kepada apa yang hendak diucapkan. Namun
begitu, maksud tersirat dalam bahasa kias amat kuat kesannya.
Sesungguhnya, jiwa orang Melayu
cukup sensitif untuk memahami kata kias. Bagaimanapun, disebabkan dikiaskan,
orang yang ditujukan perkataan itu tidak begitu tersinggung, malah dalam
keadaan rasa tidak senang hati masih boleh tersenyum.
Kata kias amat berkesan mendidik dan
membetulkan kesalahan seseorang secara berhemah.
Sememangnya dalam masyarakat kita
mementingkan agar anak-anak diajar bersopan santun dalam bertutur. Ibu bapa
akan malu jika anak-anak mereka menggunakan perkataan biadab dan menghina
ketika bercakap. Rasa malu itu bertambah-tambah lagi jika perbuatan itu
dilakukan di khalayak ramai.
Nilai bahasa Melayu tidak boleh
dijual beli. Harganya tinggi tidak mampu dibayar oleh sesiapa pun selagi bangsa memperjuangkan
maruahnya. Justeru, kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang sengaja
menjatuhkan nilai bahasa Melayu.
Kita harus berpegang kepada pepatah;
kata-kata itu akal dan budi. Bersama-samalah kita menggunakan bahasa sopan dan
betul secara tepat.
Bahasa Melayu atau dalam konteks
negara kita sekarang disebut Bahasa Malaysia amat mementingkan sopan santun. Kehalusan
Bahasa Malaysia bukan sekadar pada seni bahasanya, tetapi cara bagaimana
dipertuturkan.
Sikap sopan santun dalam bahasa
Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah lahir beberapa kategori
bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa
pasar dan lain-lain.
Setiap bentuk bahasa itu diucapkan
oleh golongan, di tempat atau masa tertentu yang melambangkan tertib dan harmoninya
keistimewaan bahasa Melayu. Golongan raja atau mereka berada di istana akan
menggunakan bahasa istana. Rakyat biasa pula menggunakan bahasa basahan dalam
kehidupan seharian.
Bahasa yang diucapkan secara sopan
lebih sedap didengar dan menjadi daya penarik supaya orang yang dilawan
bercakap atau mendengarnya menjadi lebih berminat meneruskan percakapan atau
mendengarnya.
Kita juga menggunakan bahasa sopan
ketika bercakap dengan orang lebih tua atau mempunyai kedudukan yang lebih
tinggi daripada kita. Bahasa sopan mempunyai tanda hormat kita kepada orang
yang dilawan bercakap atau mendengarnya.
Semasa bercakap pastikan perkataan
yang diucap tidak menimbulkan perasaan tidak senang atau menyakiti hati orang
lain. Seboleh-bolehnya kita hendaklah menggunakan perkataan yang akan
mengembirakan orang yang mendengar percakapan itu.
Kata pepatah, kata itu lebih tajam
daripada mata pedang. Justeru, perlu berhati-hati semasa bercakap. Terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan. Seringkali seseorang itu
menerima kesusahan disebabkan perkataan yang diucapkan olehnya.
Perkataan yang bermaksud tidak baik
tetap tidak baik maksudnya biarpun ia diucapkan oleh mereka yang dianggap baik.
Perkataan
yang diucapkan oleh seseorang melambangkan peribadinya.
No comments:
Post a Comment