Tuesday, 31 May 2022

PEMILIHAN UNDUK NGADAU KEMUNCAK TADAU KAAMATAN

 
Secara tradisi, komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDM) di Sabah akan menyambut Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai sepanjang bulan Mei setiap tahun.

Antara acara penutup Pesta Kaamatan ialah pemilihan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau paling mencuri tumpuan.

Bermula dengan pertandingan di setiap daerah bagi memilih wakil masing-masing, pertandingan Unduk Ngadau mencapai kemuncaknya apabila seorang “sumandak” (gadis) dinobatkan sebagai juara, seterusnya memegang gelaran Unduk Ngadau pada tahun berkenaan.

Pertandingan itu sebagai acara yang penuh kerohanian dan berbeza dengan pertandingan ratu lain.

Ini kerana setiap peserta digalakkan menguasai bahasa ibunda masing-masing, selain perlu arif mengenai asal-usul mereka.

Dengan adanya pertandingan Unduk Ngadau, peserta mempunyai tanggungjawab bagi memastikan budaya dan asal-usul kaum KDM terus hidup sehingga ke generasi seterusnya.

Malah, peserta Unduk Ngadau juga perlu mendalami semangat Huminodun, iaitu gadis dalam cerita legenda atau mitos Unduk Ngadau.

Sebelum dikenali sebagai Unduk Ngadau sejak 1991, ia terlebih dahulu dikenali sebagai Ratu Kaamatan.

Unduk Ngadau datang daripada perkataan “Runduk Tadau”, yang bermaksud “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

Mitos Unduk Ngadau ini berkisar tuhan masyarakat Kadazandusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu, yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka Huminodun, kerana percaya bencana alam yang melanda kampung mereka akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita.

Mengikut legenda, segala bahan makanan yang wujud pada ketika itu berasal daripada tubuh gadis berkenaan. Beras datangnya daripada isi gadis yang putih melepak, darahnya pula bertukar menjadi lada dan kepalanya bertukar menjadi kelapa serta jari-jemarinya bertukar halia.

Cerita legenda itu terus dilestarikan bagi mengenang kembali sejarah pengorbanan Huminodun menerusi penganjuran pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan di seluruh Sabah.

No comments:

Post a Comment