Tuesday, 14 February 2023

INDIVIDU TIDAK MALU MELAKUKAN DOSA

 
Terdapat individu tidak malu melakukan perbuatan jahat disebabkan tidak memahami bahawa perbuatan itu menyalahi syariat. Individu berkenaan dipanggil jahil dalam agama dan perlu dibimbing agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan itu.
 
Biasanya golongan muda mudah terpengaruh dengan perbuatan dosa atas alasan hidup alam muda untuk bersuka-ria dan menikmatinya sebelum usia tua. Mereka mendakwa akan bertaubat dan melakukan kebaikan apabila usia tua.  
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukan, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat Tirmizi).
 
Dewasa ini terlalu banyak orang semakin ‘tidak malu’ melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Perbuatan yang dilakukan tidak melambangkan kematangan fikiran dan kedudukan yang sepatutnya dijaga. 
 
Amat malang apabila pemimpin politik, pegawai tinggi kerajaan dan orang ternama terjebak melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berzina, rasuah dan salahguna kuasa.
 
Setelah perbuatan buruk mereka didedahkan kepada umum, baru timbul perasaan malu. Kita dapat lihat bagaimana orang yang dihadapkan ke mahkamah akan cuba mengelak wajah mereka dirakamkan pihak media agar perbuatan salah itu diketahui umum.  
 
Malah ada si dituduh memohon perintah mahkamah agar media tidak membuat liputan perbicaraan yang melibatkan dirinya. Petugas media dihalang oleh ahli keluarga atau rakan si dituduh daripada menjalankan tugas membuat liputan. Kerapkali perbuatan ini menimbulkan keadaan kecoh dan tegang sehingga memaksa pihak keselamatan campur tangan. 
 
Alangkah eloknya, jika perasaan malu itu lahir sebelum si dituduh melakukan perbuatan buruk itu. Perasaan malu daripada awal akan mendatangkan kesedaran dan keinsafan agar menghindarkannya daripada perbuatan buruk itu. Tindakan bijak itu dapat menyelamatkan maruah diri daripada tercalar.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu datangnya daripada keimanan, dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa kepada neraka.” (Hadis riwayat Bukhari).
 
Perasaan malu mempunyai kaitan secara langsung dengan ketakwaan. Muslim yang patuh kepada larangan Allah SWT memperlihatkan tahap ketakwaan yang tinggi. Dia malu melakukan perbuatan dosa sebagai mematuhi larangan Allah SWT.
 
Marilah kita semua menghiasi diri dengan perasaan malu sebagai lambang kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaat daripada sifat malu diperoleh ketika hidup di dunia dan akhirat. 
 
Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment