Monday 16 December 2019

SIAM TIDAK DIANGGAP MENJAJAH KEDAH


Langkasuka, Srivijaya dan Melaka antaranya adalah kuasa politik ketamadunan Melayu yang banyak meninggalkan kesan terhadap struktur sosio-politik di Semenanjung Melayu.

Setelah kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis, Semenanjung Melayu ditadbir oleh beberapa kerajaan-kerajaan Melayu kesinambungan Kesultanan Melaka.

Pihak Portugis hanya bertumpu di Kota Melaka, tidak berupaya untuk mengembangkan pengaruh mereka ke seluruh Semenanjung.

Kesultanan Melayu Pattani pernah mempunyai wilayah yang luas merangkumi beberapa wilayah moden di dalam Thailand termasuk Satun, Trang, Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pattani mempunyai hubungan yang rapat dengan Siam dan mengirim bunga mas ke Istana Raja Siam dalam bentuk bunga mas yang Siam anggap sebagai simbol pertuanan mereka ke atas kerajaan Melayu ini.

Selain Pattani, kerajaan-kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu juga turut mengirim bunga mas kepada kerajaan Siam.

Walaupun Siam menganggap amalan ini sebagai simbol kekuasaan mereka, negeri-negeri Melayu ini melihatnya sebagai suatu pertalian persahabatan.

Sebagai contoh, seperti yang tercatat di dalam buku Historical Dictionaries of Asia, Oceania and the Middle East yang diedit oleh Jon Woronoff, Terengganu mengirim bunga mas kepada Siam sebagai balasan kepada Raja Siam yang terlebih dahulu menghadiahi kerajaan Terengganu dengan pelbagai pemberian berharga.

Kedah juga berpendapat bahawa amalan ini hanya sekadar isyarat persahabatan di antara kedua-dua negara.

Kedah adalah salah satu kesultanan yang paling tua di dunia yang diasaskan pada tahun 1136.

Sebelum menjadi sebahagian daripada Malaysia, Kedah telahpun mempunyai wilayah berpenduduk yang ditadbir oleh kerajaan yang berfungsi penuh serta telahpun menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain seperti Siam dan kerajaan British.

Siam seringkali menganggap Kedah sebagai sebahagian dari wilayah negaranya. Namun, itu hanya satu anggapan yang dibuktikan sebaliknya.

Pertamanya, sekiranya ini adalah apa yang didakwa, pihak British tidak akan membuat perjanjian dengan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1798.

Keduanya, jika Kedah adalah milik Siam, pihak Siam sudah pasti akan memaksa pegawai British untuk membuat perjanjian serahan ini (penyerahan Pulau Pinang dan Seberang Prai) dengan mereka dan bukannya dengan Sultan Kedah. 

Undang-undang antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik atau pemerintahan itu boleh diiktiraf sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Unsur penting untuk terbentuk sebuah negara ialah kawasan, penduduk, pemimpin dan kedaulatan.

Semua unsur tersebut wujud dalam kes Kedah. Kewujudan unsur kawasan memang tidak dinafikan memang ada. Penduduknya juga ada di kawasan berkenaan. Manakala pemimpin pula adalah sultan. Unsur kedaulatan diperakui apabila pihak lain menghormati ketiga-tiga unsur di atas.

No comments:

Post a Comment