Wednesday 6 January 2021

DENDA KESALAHAN MEMBUANG SAMPAH DARI KENDERAAN

Pengguna jalan raya yang didapati membuang sampah dari kenderaan boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Perbuatan itu menyalahi Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan pelaku boleh diambil tindakan menurut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelaku yang mengulangi kesalahan sama akan berdepan hukuman denda hingga RM4,000 atau penjara tidak lebih dua bulan, atau kedua-duanya. 

Mungkin mereka yang berbuat demikian berasakan ia adalah perkara kecil, tetapi secara tidak langsung menyumbang kepada pencemaran Bumi yang semakin hari semakin dihimpit pelbagai kekotoran termasuk bahan kimia dari kilang, karbon monoksida daripada asap kenderaan dan sebagainya.

Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa orang tetap melakukannya dan tidak bolehkah mereka memasukkan sampah ke dalam beg plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah ketika berhenti di kawasan disediakan di sepanjang jalan atau lebuh raya.

Mungkin bagi mereka yang sering melakukan perbuatan tidak bermoral itu beranggapan ia sesuatu yang normal. Mereka fikir jika tidak melakukannya, orang lain pasti membuat perkara serupa.

Tahukah mereka sikap tidak bertanggungjawab itu memberi kesan negatif bukan sahaja kepada alam sekitar, malahan kepada anak-anak yang pasti mengikut perbuatan ibu bapa mereka apabila dewasa nanti.

Ini kerana, terdapat kanak-kanak yang membuang sampah ke luar tingkap setelah mereka ‘diajar’ oleh orang tua mereka agar tidak menyimpan sampah di dalam kenderaan, tetapi mencampakkannya sahaja keluar.

Sikap ini akan berterusan sehingga mereka sendiri mempunyai anak-anak dan mewarisi tingkah laku sama.

Sampah ringan jika dibuang akan berterbangan dan terkena cermin hadapan kenderaan di belakang. Ini amat berbahaya, lebih-lebih lagi jika ‘mendarat’ pada muka penunggang motosikal.

Islam mengajar kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jadilah warganegara yang lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah merata-rata.

No comments:

Post a Comment