Wednesday 24 January 2024

CARA PINDAHKAN API PADA MASA DAHULU

 
Dahulu penggunaan api untuk membakar sama ada untuk memasak, membakar sampah dan tujuan lain memang amat ketara. Kayu api atau bahan bakar perlu dinyalakan menggunakan api. Inilah satu masalah ketara pada ketika itu.
 
Kayu besar memang sukar untuk dinyalakan. Jadi, untuk memasak perlu mengambil masa untuk menyalakan kayu api dahulu. Jika kayu tidak betul kering dan berukuran besar, memang mencabar kesabaran. Berpeluh dan berlumut muka dengan abu yang ditiup melekat di muka.
 
Jadi, satu cara yang biasa dilakukan ialah dengan mengambil mana-mana “ibu api” atau bara api daripada mana-mana tempat pembakaran yang telah marak.
 
Bahagian bara yang telah panas itu mudah menyala jika ditiup dengan angin yang keluar daripada mulut atau menggunakan kipas tangan. Bara yang menyala itu kemudian akan berjangkit atau berpindah pula menyalakan kayu-kayu yang bersentuhan atau berada berdekatan dengannya.
 
Untuk memindahkan bara api itu perlukan teknik yang betul. Bara tidak boleh dipegang kerana panas. Kalau masih ada bahagian hujung kayu yang belum terbakar, boleh dipegang bahagian itu dan kemudian dibawa ke tempat baharu.
 
Jika keseluruhan bahagian kayu telah terbakar, maka perlu dikepit bara itu menggunakan kayu atau benda yang tahan panas, kemudian dimasukkan ke dalam bekas yang boleh dipegang untuk membawa bara api itu.
 
Biasanya “bekas” yang digunakan ialah sabut kelapa kerana ia kemudian juga boleh dijadikan sebahagian bahan bakar. Sabut kelapa biasanya terdapat di kebanyakan rumah pada masa dahulu kerana santan kelapa disediakan sendiri daripada buah kelapa.

No comments:

Post a Comment