Friday, 2 August 2024

TREN DMU LEBIH SELESA

 
Penggunaan Diesel Multiple Unit (DMU), menggantikan lokomotif dan koc penumpang lama yang digunakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) banyak memberi keselesaan kepada pengguna di laluan Pantai Timur iaitu Kelantan dan Pahang.
 
Menerusi tren DMU tersebut, KTMB dapat menawarkan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada masyarakat pedalaman kedua-dua negeri yang bergantung kepadanya setiap hari.
 
Kerajaan Pusat memperuntukkan RM380 juta untuk membeli 13 buah tren DMU yang mula dilancarkan pada 11 April 2021.
 
Tren DMU atau dikenali Kelas 61 menawarkan kemudahan mesra pengguna orang kurang upaya (OKU), selain semua tempat duduk penumpang sama tanpa dibeza-bezakan status orang biasa atau orang kenamaan.
 
DMU ini juga dilengkapi dengan tempat simpan beg, soket kuasa bagi tujuan pengecasan bateri telefon atau komputer riba, bilik solat dan tandas lebih selesa serta mampu memenuhi keperluan pengguna.
 
Kalau dilihat dari segi luaran, DMU ini hampir menyerupai tren Electic Multiple Unit (EMU) milik KTM yang lain cuma bezanya adalah kuasa DMU dijana menggunakan enjin diesel.
Disebabkan itu, tren DMU ini tidak mempunyai pantograph serta tidak memerlukan landasan yang lengkap dengan kemudahan elektrifikasi atau Overhead Catenary Line (OCL).
 
DMU Kelas 61 ini dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive (CRRC) pada tahun 2018 hingga 2020 sebanyak 13 unit. Dua set tren pertama dihasilkan di kilang CRRC di Zhuzhou, China manakala baki 11 lagi unit dihasilkan di kilang Batu Gajah, Perak.
 
DMU ini mempunyai kelajuan maksima 140km/j dan mampu membawa 200 hingga 220 penumpang pada satu-satu masa dengan empat koc atau lebih dikenali sebagai gerabak.
 
CRRC memberikan sentuhan teknologi terkini dengan pengenalan sistem signal Wireless Train Tracker menggantikan sistem Automatic Train Protection (ATP) yang sekian lama digunapakai oleh pihak KTM.
 

No comments:

Post a Comment