Kejayaan
dan kemenangan tidak selamanya kekal dan diraih. Banyak ranjau yang perlu lalui
dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Allah menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai
pengajaran kepada kita semua.
Firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 140 yang bermaksud: “Jika kamu
(dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum
(musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka
yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia
ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan),
"Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan
supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan
yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu
orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim.”
Inilah
sunnatullah. Allah SWT menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia.
Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan
kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman.
Maka, dalam konteks perjuangan
agama bangsa, kemenangan yang kita peroleh tidak boleh menjadikan kita angkuh,
sombong dan selesa.
Cabaran
terhadap perjuangan agama bangsa masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih
berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri.
Maka,
seluruh perjuang perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri. Kaji adakah agama
bangsa kita berada dalam keadaan yang selamat?
Sebagai pejuang yang toleran dan
sederhana, kita perlu kerjasama dengan seluruh pihak lain untuk membina sebuah
negara bangsa. Sesungguhnya, kita telah melahirkan sebuah ceritera perjuangan
yang mampu dibanggakan.
Namun,
perlu diingat, apa yang diraih itu tidak dijamin keberkekalannya. Allah akan
menarik kembali apa yang kita miliki jika alpha dan tidak bersyukur.
Suasana perjuangan agama bangsa
hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi
ideologi utama.
Malah, banyak parti nasionalis yang
memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur.
Selepas era perang dingin,
liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia.
Di bawah lembayung ideologi baharu
ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar
secara meluas, termasuk di negara-negara Asia.
Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan
masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca
Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan agama bangsa.
Gambar: Kempen semasa PRN Melaka 2021
No comments:
Post a Comment