Pengharaman perbuatan homoseksual. Sesungguhnya tiada perbezaan pendapat dalam
kalangan ulama Islam mengenai pengharaman perbuatan homoseksual. Homoseksual
ini dimaksudkan sebagai orang yang tertarik nafsu syahwatnya kepada orang yang
sejenis dengannya.
Ulama menggunakan istilah liwat untuk
hubungan seksual antara lelaki dan lelaki dan musahaqah untuk hubungan antara
perempuan dan perempuan. Kedua-dua hukumnya adalah haram.
Walaupun berbeza mengenai hukumannya, ulama
mencapai kata sepakat tentang haramnya homoseksual secara ijmak iaitu secara
persetujuan dalam kalangan ulama Islam. Sebagai sumber hukum Islam, ijmak
adalah antara sumber ketiga yang paling tinggi dalam sistem perundangan Islam.
Sekiranya berlaku liwat, majoriti ulama
Islam meletakkan hukumannya sama seperti hukuman kepada penzina, kecuali
pandangan Imam Abu Hanifah.
Asas kepada hukum pengharaman ini ialah
al-Quran dan hadis. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu
mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan
perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” - (Surah al-Araf,
ayat 81)
Selain ayat suci al-Quran, ada juga hadis
Rasulullah berkaitan homoseksual dan liwat. Antaranya, terdapat hadis yang
menyatakan mereka yang melakukan perbuatan ini dalam kemurkaan Allah.
Walaupun kedudukan ini jelas, banyak
perbahasan semasa cuba membawa pandangan baru dalam hal ini. Terdapat pendapat
yang menyatakan homoseksual tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran. Ini
benar kerana perkataan homoseksual itu hanya diperkenalkan pada akhir kurun
ke-18.
Walaupun perkataan homoseksual itu tidak disebut dengan nyata di dalam al-Quran, ini tidak bermakna al-Quran tidak mempunyai hukum mengenainya. Ayat suci al-Quran dengan jelas memberikan penerangan mengenai perlakuan tersebut.

No comments:
Post a Comment