Sunday, 3 June 2018

SURAT BERANTAI SATU PERANGKAP AKIDAH

Banyak cara digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan keadaan tidak baik. Penyebaran surat berantai adalah salah satu caranya. Surat berantai menjadi perangkap yang sudah lama berjaya memperdayakan ramai mangsa di kalangan orang Islam.   

Perkara itu nampak remah, tetapi sebenarnya telah berjaya menimbulkan kesan negatif yang amat mendalam dalam kehidupan orang Islam. Pelbagai bentuk surat berantai dikesan wujud sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan masih berterusan edarannya disebabkan ramai mempercayainya, termasuk orang Islam di negara kita.

Ramai tidak menyedari dirinya telah terperangkap dengan surat berantai yang menyebabkan banyak keburukan. Justeru itu menjadi tanggungjawab sesama Muslim saling menasihati atau menyebarkan maklumat yang diketahui agar mengelak lebih ramai lagi menjadi mangsa.

Di antara bentuk surat berantai yang dicipta musuh Islam disebarkan secara meluas ialah berkaitan nasib baik dan nasib buruk bagi setiap penerima surat itu. Penerima surat berantai itu perlu membuat beberapa salinan dan mengirimkan kepada sesiapa saja jika ingin mendapat nasib baik. 

Sebaliknya jika tidak mempercayai kandungannya dan tidak melakukan apa yang diarahkan dalam surat itu, maka penerimanya bakal ditimpa musibah dari segi wang ringgit dan mungkin juga melibatkan nyawa. 

Ternyata kandungan surat berantai bertujuan memesongkan akidah orang Islam. Ia mengaitkan nasib seseorang ditentukan oleh surat dan bukannya kuasa Allah. Sesungguhnya, sesiapa yang mempercayai ada kuasa lain menentukan nasib atau berkuasa selain Allah, maka dirinya telah mempersekutukan Allah dengan kuasa lain atau dipanggil syirik.

Syirik adalah dosa paling berat dan tidak diampunkan oleh Allah melalui taubat. Sebaliknya, dosa syirik hanya dapat dilakukan dengan cara mengucap kalimah syahadat sebagai tanda memperbaharui kembali keislamannya. 

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memberi ampun terhadap orang yang mempersekutu-Nya (syirik) dan Allah sanggup memberi ampun dosa orang lain bagi orang yang dikehendaki-Nya. Sesiapa syirik, sesungguhnya sesat dia sejauh-jauh sesat.” - (Surah an-Nisa, ayat 116)

Ramai tidak sedar perbuatan mempercayai kandungan surat yang tidak diketahui dari mana asalnya itu adalah perbuatan syirik. Kejahilan mengenai pengetahuan hukum agama mudah menyebabkan seseorang melakukan perbuatan yang menyalahi dan ditegah dari segi agama. 

Didapati ramai individu yang terlibat menyalin surat berantai itu mengakui tidak mengetahui apa yang dilakukan itu perkara satu perbuatan ditegah di sisi agama. 

No comments:

Post a Comment