Monday, 29 May 2023

TUAK KELAPA DI JELI

 
Biasanya di Kelantan, jika disebut tuak atau nira kelapa, penghasilannya lebih tertumpu pada kawasan “pantai” seperti Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh. Ini kerana kawsan tersebut banyak terdapat pokok kelapa. Malah, aktiviti “nyadat” atau mendapatkan tuak daripada mayang (bunga kelapa yang masih di dalam seludangnya) kelapa sudah menjadi tradisi penduduk di kawasan berkenaan.
 
Namun, sekarang ini, aktiviti menyadat sudah merebak di seluruh Kelantan. Sekarang, sudah banyak penghasilan tuak kelapa turut dilakukan di Tanah Merah dan Jeli. Justeru, peminat tuak di kawasan berkenaan tidak perlu lagi pergi jauh untuk mendapatkannya.
 
Kualiti dan rasa tuak di Jeli dikatakan setanding dengan apa yang terdapat di kawasan pantai.
 
Lokasi atau individu yang menjual tuak di Jeli boleh dicari melalui carian di Facebook atau laman sesawang.
 
Untuk mendapatkan nira, proses nyadat perlu dilakukan. Orang yang melakukan tugas tersebut dipanggil “tok nyadat” atau “tok sadat”.
 
Tok nyadat perlu memanjat pokok untuk menyadat atau menyadap melakukan kerja menyadat atau memotong mayang kelapa. Selain itu tok nyadat perlu memanjat sekurang-kurangnya dua kali pokok kelapa untuk memunggut tuak yang ditadah di dalam tukil.
 
Tukil untuk menadah nira dahulunya diperbuat daripada buluh. Namun sekarang ni kebanyakan tukil menggunakan botol plastik yang lebih ringan dan tidak mudah pecah.
 
Biasanya penyadat akan mengandar tukir berisi tuak untuk dibawa pulang ke rumah. Kandaran di buat daripada batang kayu atau buluh yang kukuh.
 
Tukil yang diikat dengan tali akan diletakkan di kedua-dua hujung batang kandaran. Ia perlu diletakkan sama banyak atau sama berat agar untuk mudah dikandar nanti.

No comments:

Post a Comment