Selepas laluan pertama Taiping-Port Weld dirasmikan pada 1
Jun 1885, beberapa laluan lain dibina secara tidak bersambung. Antara laluan
kereta api tersebut adalah laluan Klang-Kuala Lumpur yang dibuka pada 15
September 1886 dan laluan Keretapi Sungei Ujong (Seremban-Port Dickson) yang
dibuka pada Julai 1891.
Laluan lain ialah Teluk Anson-Tapah Road yang dibuka pada
tahun 1893, laluan Kuala Lumpur-Rawang yang dibuka pada 7 November 1892, dan
laluan Prai-Bukit Mertajam yang dibuka pada 1 Julai 1899.
Kesemua laluan kereta api ini disambungkan antara Prai dengan
Seremban pada tahun 1903.
Ketika proses penyambungan jalan kereta api Prai-Seremban
giat dijalankan, pembinaan landasan kereta api telah bermula Pulau Ujong. Landasan
ini yang menghubungkan pekan Singapura dan pekan Kranji, telah dibuka pada
tahun 1903.
Di Negeri Sembilan, penyambungan rangkaian kereta api ke
selatan dari Seremban telah dijalankan. Laluan kereta api Seremban-Melaka telah
dibuka pada tahun 1905 dan laluan kereta api Seremban-Gemas dibuka pada tahun
1906.
Selepas itu. pembinaan landasan kereta api diteruskan ke
arah selatan dari Gemas ke Johor Bahru. Kerja-kerja pembinaan bermula pada
tahun 1904 dan laluan ini dibuka secara rasmi pada bulan Julai 1909.
Oleh kerana pada ketika itu tiada landasan kereta api
menghubungi Singapura, sebuah perkhidmatan feri disediakan antara Johor Bahru
dengan Singapura. Pada tahun 1923, pembinaan Tambak Johor giat dijalankan bagi
menghubungkan Singapura dan Johor Bahru.
Tambak ini dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924 walaupun
kereta api kargo mula menggunakan tambak ini sejak 17 September 1923 dan kereta
api penumpang pertama melalui tambak ini pada 1 Oktober 1923.
Pembinaan landasan ini antara Bukit Mertajam dengan Alor
Setar bermula pada tahun 1912 dan siap pada bulan Oktober 1915. Landasan
ini kemudian dipanjangkan sehingga Padang Besar pada tahun 1918.
Pada masa yang sama, laluan Pantai Timur bermula pada tahun
1907 daripada Gemas sehingga Bahau pada April 1910 dan Tembeling paa tahun
1913. Kemudian, laluan ini dipanjangkan ke utara sehingga Kuala Lipis yang
merupakan pusat pentadbiran Pahang pada tahun 1917.
Di Kelantan, pembinaan laluan Pantai Timur bermula pada
tahun 1906 dan pada tahun 1914, sebuah landasan kereta api antara Tumpat dengan
Pasir Mas dibuka kepada awam. Sebuah landasan cabang antara Pasir Mas dengan
Golok bertujuan untuk menghubungkan laluan ini dengan sistem kereta api Siam
dibuka pada bulan September 1920.
Laluan kereta api antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka
secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua
Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.
Gambar - Stesen Taiping 1885
No comments:
Post a Comment