Banyak ayat al-Quran menyebutkan
mengenai hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai jenis. Ia menunjukkan betapa
pentingnya bidang pertanian pada pandangan Islam. Bidang pertanian, terutama yang mengeluarkan hasil makan ruji seperti beras perlu dilihat dari aspek keselamatan negara.
Allah SWT berfirman dalam surah al Anaam
ayat 99 yang bermaksud: “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami
tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami
keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman
itu butir-butir (buah-buan) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar
(kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah
dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton
serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak
bersamaan.”
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami
menjadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat)
ladang-ladang kurma dan anggur. Kami pancarkan banyak mata air (di situ).
Tujuannya supaya mereka boleh mendapat rezeki daripada hasil tanaman tersebut
dan tanam-tanaman lain yang mereka usahakan. Adakah mereka berasa tidak perlu
bersyukur?” (Surah Yasin, ayat 34-35)
Sumber makan ruji seperti beras perlu dilihat dari aspek
keselamatan negara. Sebab itu, negara kaya dan maju terus
mengeluarkan sendiri sumber makanan biarpun sebenarnya adalah lebih
menguntungkan jika negara berkenaan mengimport bekalan makanan itu dari luar
negara.
Negara maju belum tentu selamat dan dapat
menyediakan bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya jika berlaku
peperangan, bencana dan ancaman penyakit sekiranya tidak mempunyai bekalan
makanan dikeluarkan sendiri di dalam negara.
Bidang pertanian pada bila-bila masa perlu
diberi keutamaan. Pengeluaran hasil makanan yang mencukupi untuk keperluan
rakyat perlu dijadikan agenda utama negara.
Makanan merupakan salah satu keperluan asas
manusia. Manusia memerlukan makanan seimbang bagi mendapatkan tenaga dan
nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan untuk bergerak aktif.
Makanan yang baik bukan sahaja mengambil
kira kandungan zat yang terkandung malahan keselamatan daripada segi bahaya
kimia, fizikal dan biologi di dalam makanan juga perlu diberi penekanan.
Peningkatan penduduk dunia saban tahun
telah memberi tekanan terhadap permintaan pelbagai jenis keperluan. Namun,
sumber yang terhad dan kehendak manusia yang tiada sempadan menyebabkan tidak
semua keperluan asas dapat dipenuhi sekiranya tidak diurus dengan baik.
Oleh itu, makanan merupakan salah satu
keperluan asas yang perlu diberi perhatian dalam memastikan pembangunan ekonomi
dan sosial sesebuah negara kekal progresif dan berdaya saing.
Justeru, sistem makanan negara perlu
diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan. Ini termasuklah meningkatkan
prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan,
pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.
Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (Pelan
Tindakan DSMN) 2021-2025 telah dibangunkan bagi memperkukuh sekuriti makanan
negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan
makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.
Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 yang
merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif ini dijangka akan
dapat memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa,
khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan.
Pengajaran kisah daripada Surah Yusuf ayat
47-49 yang bermaksud: “Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam
bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam
biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu
jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun
kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya;
kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). “Kemudian
akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat
hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.
No comments:
Post a Comment