Friday, 27 July 2018

IBADAT KORBAN DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH

Aidiladha adalah kebahagiaan umat Islam yang dimanifestasikan dengan menyembelih haiwan korban sebagai tanda kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan kebahagiaan umat Islam kerana dapat menunaikan ibadah haji serta memenuhi panggilan-Nya.

Keistimewaan Hari Raya Aidiladha berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri di mana ia dilakukan di seluruh dunia bersamaan waktunya dengan jemaah haji yang berkumpul di Tanah Suci melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji.

Kita memperingati Hari Raya Haji sebagai hari raya besar, lebih besar daripada Hari Raya Puasa. Kerana ia adalah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid yang cukup panjang, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus-menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Dengan mengumandangkan takbir, tahlil dan tahmid kita menyedari sepenuhnya bahawa manusia adalah makhluk yang kecil di hadapan kebesaran Allah SWT. pencipta alam semesta. Juga kita menyedari bahawa kita hanyalah sebagai makhluk yang daif dan hina di hadapan Allah SWT.

Sebagai makhluk yang daif, makhluk yang hina di hadapan Allah SWT kita yang hanya dapat berharap dan memohon kasih sayang-Nya, semoga perjalanan hidup kita di dunia ini hingga akhirat kelak mendapat keselamatan dan kebahagiaan. Bahkan kita pun berharap agar kiranya Allah menjauhi kita daripada azab seksa-Nya yang amat pedih.

Justeru dalam merayakan Aidiladha, umat Islam dituntut merapatkan ukhuwah Islamiah di samping bersikap toleransi sesama manusia.

Rasulullah SAW pernah ditanyakan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah dengan berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti tetangganya.

Nabi SAW menegaskan bahawa wanita ini tidak dapat membina hubungan baik dengan masyarakat sekitarnya, kelak di akhirat ia akan masuk neraka.

Hari Raya Korban sebenarnya menuntut kita agar lebih banyak beramal sosial bukan sekadar bersifat formal sahaja.

Begitu ramai mereka yang sering melaksanakan ibadah korban tetapi perangai masih tetap tidak berubah, masih di takuk lama, masih tetap bakhil, sombong, riak, tamak, tidak amanah dan rasuah. Lebih teruk lagi ialah mengambil sikap mengasingkan diri daripada masyarakat.

Sesungguhnya agama ini tidak mungkin dihayati secara sendirian atau dalam erti kata mementingkan diri sendiri. Islam adalah agama jamaah, agama untuk mendidik manusia hidup bermasyarakat.

Golongan yang mementing diri sendiri dan tidak sanggup untuk berkorban sudah tentu gagal membawa misi dan amanat yang terdapat dalam semangat Hari Raya Korban.

Sekalipun amal sosial nampak remeh dan kecil namun di sisi agama ia sangat dihargai dan besar maknanya. Walaupun sekadar bermuka manis ketika bertemu kawan atau menyingkirkan duri di jalan, perbuatan itu sudah dinilai dalam Islam sebagai orang yang beriman.

No comments:

Post a Comment