
Air terjun Lata Rek, Kuala Krai. Satu lokasi air terjun terkenal di Kuala Krai, Kelantan. Air terjun terbentuk dari
aliran Sungai Rek. Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 106 kilometer dan 33 kilometer dari Kuala Krai.
Pengunjung tidak sukar untuk sampai ke Lata
Rek kerana kedudukannya hanya kira-kira 3 kilometer dari simpang Kampung Laloh,
Jalan Kuala Krai- Gua Musang.
Keistimewaan Lata Rek terletak pada hamparan
batu yang panjang kira-kira 200 meter dan lebar kira-kira 100 meter membentuk
air terjun yang banyak arah mengikut lurah yang berlainan. Keadaan ini memberi
satu pemandangan yang cantik dari pelbagai arah.
Ini memberi banyak pilihan kepada pengunjung
untuk berada di bahagian mana yang lebih disukai. Ada tempat air terjun
terbentuk jeram yang menakung air sesuai untuk berenang atau berendam di situ.
Pengunjung juga boleh bergerak dan menikmati ‘cabaran’ di pelbagai kedudukan
air terjun.
Ketika musim kemarau, air terjun hanya
terbentuk mengikut lurah yang lebih dalam. Bagaimanapun ketika musim hujan, air
terjun melipasi halangan dari pelbagai arah membentuk lebih banyak air terjun.
Kawasan yang luas memberi keselesaan untuk
pengunjung mandi manda. Bagi kanak-kanak mereka boleh memilih bahagian air
terjun yang kecil dan tempat yang rendah. Selain itu kanak-kanak juga sesuai
mandi di aliran sungai yang cetek dan kurang laju.
Berhampiran air terjun terdapat kawasan
berpasir yang luas sesuai dijadikan tapak perkhemahan dan aktiviti sukan.
Bagaimanapun pada musim hujan kawasan tersebut tidak sesuai dijadikan tapak
perkhemahan kerana kadar kenaikan air secara mendadak yang membahayakan.
Nama Lata Rek bukan sahaja merujuk kepada kawasan air terjun. Nama itu juga merujuk kepada kepada nama mukim iaitu Mukim Lata Rek. Nama kampung terdapat di Lata Rek ialah Kampung Kubang Puyu, Kampung Cempaka, Kampung Lata Tual, Kampung Jalal, Kampung Chatel, Kampung Bukit Budu, Kampung Kubang Kerian, Kampung Tok Uban, Kampung Jelkis dan Kampung Stambul.
No comments:
Post a Comment