Frasa ayat “bui pitih ambil, bui kain
pakai... tapi undi” adalah ucapan seorang pemimpin sebuah parti beberapa dekad
lalu. Ayat itu macam kata-kata biasa sahaja, tetapi telah digunakan dalam
pengucapan dan tulisan secara meluas. Kalaulah ucapan itu dibuat sekarang,
rasanya ia telah tular di media sosial.
Ayat itu sebenar memberi makna yang besar
secara tersurat dan tersirat. Ayat ini bukan kaleng-kaleng pengaruhnya. Menjadi
azimat dan kata-kata hikmah di kalangan pengikut parti.
Memberi satu gambaran atau peringatan bahawa
apa sahaja yang diberikan oleh ahli politik lawan perlu diambil dan
dimanfaatkan, tetapi undi tetap tidak diberikan kepada politik berkenaan.
Sikap itu sebenarnya mengajar kita sikap
bermuka-muka dan tidak ikhlas. Kita tunjukkan sikap tidak bersyukur dan
mempertikaikan niat orang yang memberinya. Menjadi manusia buta hati dan ego
dengan hanya menganggap tiada kebaikan orang lain untuk dinilai dan dihargai.
Kalau sudah tahu apa yang diberi itu untuk
pancing undi, awal-awal lagi jangan terima. Bahkan wajib ditolak kerana ia
sudah boleh dianggap rasuah. Menerima sesuatu yang pihak pemberinya
mengharapkan sesuatu balasan lain adalah satu rasuah. Apabila ia sudah menjadi
kebiasaan, maka rosaklah masyarakat.
Dan sekarang, parti berkenaan pula semakin
galak menggunakan wang dalam meraih undi. Kerana tidak yakin bahawa penerima
wang akan memilih parti tersebut, lalu dibuat aku janji atau sumpah.
Agaknya mereka tidak mahu penerima itu mempraktikkan
ajaran “bui pitih ambil, bui kain pakai”. Kan telah terkena pada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment