Kewajipan
menunaikan ibadat haji adalah berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunah
Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah mewajibkan manusia
mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah), iaitu mereka
yang sanggup pergi ke sana.” (Surah Ali Imran, ayat 97).
Satu
lagi firman Allah SWT berkaitan haji ialah dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang
bermaksud: “Sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Kewajipan
mengerjakan ibadat haji juga berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW
dan dijelaskan melalui sabda baginda.
Hadis
diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Islam dibina di atas lima perkara,
iaitu mengakui tiada Tuhan yang sebenarnya mesti disembah selain Allah dan
mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar
zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.”
Ibadat
haji bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang
dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung
perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan
kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 27 hingga 28 yang maksudnya: "Dan
serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan
mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta
yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan
pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat
mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu."
Sesungguhnya
balasan besar bagi mereka mengerjakan ibadat haji. Rasulullah SAW bersabda
sepertimna diriwayatkan dari Abu Hurairah, maksudnya: "Barangsiapa
menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan
perkara-perkara yang dilarang, maka bersihlah ia dari dosanya seperti pada hari
ia dilahirkan oleh ibunya".
Ibadat
haji hanya diwajibkan ke atas orang yang mampu. Maksud mampu di sini amat luas.
Umumnya di kalangan masyarakat kita mengaitkan istilah mampu hanya pada soal
kewangan.
Hakikatnya,
mampu di sini merangkumi segala aspek berkaitan ke arah terlaksananya ibadat
haji. Selain soal kewangan, perkara lain termasuk dalam konteks mampu ialah
kesihatan, aman, keselamatan, kehendak undang-undang dan peluang. Tidak wajib
seseorang wanita itu pergi haji melainkan dengan mahram atau dengan sekumpulan
wanita sekurang-kurangnya 3 orang selain dari dirinya sendiri.
Sesiapa
yang tidak menunaikan ibadat haji disebabkan terhalang tidak mampu, maka tidak
jatuh dosa terhadapnya. Umpamanya, seseorang yang telah cukup simpanannya untuk
perbelanjaan ke Makkah, tidak berpeluang melakukannya disebabkan terpaksa
menunggu giliran ditetapkan pihak berkuasa, maka orang itu tergolong sebagai
tidak mampu untuk tahun berkenaan.
Dalam
soal ini, sesiapa yang pernah menunaikan haji wajar memberi keutamaan kepada
orang yang belum pernah. Terdapat orang yang berulang-ulang kali menunaikan
haji, secara tidak langsung sebenarnya telah merampas atau menyekat hak orang
yang belum pernah. Sedangkan ibadat haji hanya wajib dilakukan sekali sahaja
dalam seumur hidup.
Sesiapa
yang mampu, terutama dalam soal kewangan, wajarlah menyegerakan perlaksanaan
ibadat haji.
Ibadat
haji menghimpunkan seluruh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk tujuan
dan maksud yang sama. Setiap tahun kira-kira empat juta umat Islam menunaikan
ibadat haji. Jumlah itu adalah yang mampu diuruskan oleh pihak berkuasa Arab
Saudi. Jika tidak, sudah tentu bilangan jemaah hari lebih ramai daripada
itu.
Perhimpunan
umat Islam menunaikan ibadat haji adalah perhimpunan teramai manusia untuk
melakukan satu-satu ibadat di muka bumi ini. Mereka memakai pakaian,
mengucapkan perkataan dan melakukan perbuatan yang sama ketika menunaikan
ibadat haji tanpa membezakan keturunan, darjat kekayaan dan budaya hidup.
No comments:
Post a Comment